Saturday, October 31, 2009

PKR Papar beri kata dua

PAPAR 31 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Papar hari ini memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya 'membetulkan semula' keputusan berhubung pelantikan ketua perhubungan PKR negeri atau berhadapan tindakan pembubaran atau ahli meninggalkan parti itu.

Ketua bahagiannya, Sylvestor Balon Mujin berkata, beliau dan ahli PKR bahagian itu akan meninggalkan parti dan membubarkan bahagian itu jika kepimpinan pusat terus membelakangkan suara majoriti dalam membuat keputusan.

"Kami memberi masa dua minggu untuk mereka (pucuk pimpinan) membetulkan balik keadaan. Selepas itu kita akan melihat suara dan reaksi rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bersama 16 ahli jawatankuasa bahagian itu.

Mengenai khabar angin beliau akan mengetuai kumpulan yang bakal meninggalkan PKR, Sylvestor berkata, pertemuan hari ini bertujuan membincangkan masalah parti dan bukannya meninggalkan parti.

Beliau menjelaskan, suara majoriti telah jelas memilih Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri bukannya Ahmad Thamrin Jaini.

"Pada mesyuarat 22 Oktober lalu, 14 pemimpin bahagian memilih Jeffrey dan hanya sembilan menyokong Thamrin," katanya.

Sylvestor menambah, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada PKR pusat bagi membantah keputusan melantik Thamrin sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri.

Krisis dalaman PKR Sabah bermula dengan penentangan terhadap pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri itu sehingga membawa kepada 18 daripada 23 ketua bahagian parti itu menghantar memorandum bantahan ke peringkat pusat.

Sebelum Azmin, PKR negeri diketuai Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang dilantik menggantikan penyandang sebelumnya, Ansari Abdullah.

Bagi menyelesai kemelut tersebut, PKR pusat pada Ahad lalu melantik Thamrin sebagai ketua perhubungan negeri yang baru dan hanya memberikan Jeffrey jawatan ahli dalam Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan itu seterusnya mendorong peletakan jawatan Jeffrey dan Ketua PKR bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew daripada semua jawatan dalam PKR pusat baru-baru ini.

Ulasan : PKR Sabah makin bercelaru dengan krisis kepimpinan.

Read more...

Friday, October 30, 2009

SUARA PAS BANTU PKR MELEBARKAN SOKONGAN SETELAH TENAT (BAHAGIAN SATU)



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Para Blogger yang saya hormati sekalian,

Riuh rendah suara kedengaran mengingatkan bahawa sesuatu akan berlaku.Berita yang saya terima adalah mukaddimah minggu lepas.Puas saya berfikir,siapakah "orang penting" yang akan datang menyampaikan ucapan.

Pagi Sabtu,saya segera mencari kepastian.Saya tidak sedikit pun terperanjat akan kedatangan "orang penting tersebut" kerana bagi saya,saat sebegini,memang itulah talian hayatnya.

ANWAR IBRAHIM,Dr Badrul Amin dan Saifuddin Nasition adalah antara nama yang tidak asing dalam arena politik pembangkang Malaysia.Mereka pandai menggunakan kata-kata.Saya disapa dengan panggilan panas berkata lebih kurang begini, "dah stand by soalan ker? Anwar nih...Anwar...jangan main-main" , saya jawab dengan tenang,bahawa dalam kamus hidup saya,saya hanya takut kepada ALLAH S.W.T dan semua makhluk adalah sama bagi saya.Anwar Ibrahim atau siapa sekali pun,saya tidak sedikit pun gerun walaupun saya tidak pandai bermain dengan kata-kata sastera.

SUARA PAS BERPERANAN UTAMA
Setelah kemenangan yang bagi PAKATAN PEMBANGKANG agak besar itu pada Mac 2008,dataran hayyu asyir Kaherah adalah lokasi strategik pembangkang mengadakan siri ceramahnya atas pelbagai nama.

Sejak kedatangan YB Datuk Dr Hassan Ali,PMRAM perlu menarik nafas lega,kerana bagi mereka penubuhan SUARA PAS adalah satu-satunya talian dan perisai pelindung survival PMRAM.

Namun,PMRAM hanya tidak akan berjaya menangkis hujah bahawa PMRAM pro pembangkang kerana majoriti dalam SUARA adalah merupakan AHLI PMRAM! Lebih meyakinkan,FARHAN MAZLAN sendiri mengakui bahawa beliau tetap ahli PMRAM!

Warga kerja SUARA juga adalah terdiri dari mereka yang telah lama dikenali sebagai "orang PMRAM".SUARA hanya baju baru namun yang memakai tetap individu PMRAM.Pada beberapa ketika nanti,individu berkenaan akan menukar kembali pakaian lama mereka.

Berlakonlah sepuas hati.Mahasiswa Mesir samaada pengajian Islam dan Perubatan bijak menilai.Mereka tidak mudah tertipu!

Penubuhan SUARA masih tidak menyelamatkan PMRAM dari dilibatkan sebagai agen pembangkang.Ini adalah kerana siri usrah mereka di rumah-rumah negeri,siri KOLOKIUM pelajar baru dan beberapa aktiviti lain yang dilihat memainkan peranan secara halus menanam pemikiran benci kepada kerajaan.Antara bukti jelas yang dapat saya nyatakan melalui blog ini adalah DISKUSI KITAB BERTAJUK "SEMANGAT KEBANGSAAN MENURUT NERACA SYARAK" tulisan Dr Abdullah nasir ulwan.Buku tersebut dikarang berdasarkan keadaan semasa ketika itu yang memperlihatkan pertembungan antara SOSIALIS dan KAPITALIS! Saya sendiri pernah berbincang dengan Dr Rakfat tentang hal ini.

CERAMAH POLITIK MENGGUNAKAN NAMA KEDUTAAN!
Sebelum saya mengulas lebih lanjut,wajar saya menceritakan status majlis ceramah malam 29 Oktober tersebut agar diketahui umum.

Kita sedia maklum,undang-undang di Mesir tidak membenarkan sebarang rapat UMUM yang membahayakan keselamatan negara Mesir.Perkara ini sering dimomokkan oleh "abang-abang lama" dari kalangan penceramah persatuan yang mengaku ada hubungan baik dengan pihak keselamatan Mesir.

Namun,apakah gerangan majlis ceramah anjuran SUARA tersebut? Apakah ianya tidak membahayakan keselamatan negara ini? Bagi saya,untuk jangka masa panjang ianya bermasalah dan membahayakan.Kerana pembangkang Malaysia yang datang mungkin akan membuat hubungan dengan pembangkang di Mesir.Lebih membahayakan lagi jika hubungan tersebut tidak direstui oleh PIMPINAN MESIR.Sudah barang tentu membahayakan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Ketika audion asyik mendengar ucapan pemimpin pembangkang,tiba-tiba datang lima individu berbangsa arab yang bertanya pelbagai pertanyaan.Saya memahami setiap kalimah yang ditanya.Saya membiarkan dahulu dijawab oleh orang lain sehingga saya lihat lima orang berkenaan tidak berpuas hati jawapan dari salah seorang berdekatan mereka dan bertanya berkali-kali.Inilah barangkali kesan kewujudan rumah negeri.Ada yang bercakap bahasa arab dialek tempatan seolah-olah baru semalam sampai.

Saya menjawap pertanyaan lima individu berkenaan.Pertanyaan mereka cukup ringkas.Mereka bertanya kain rentang di rumah PAHANG yang berbahasa arab mengiklankan majlis KONVOKESYEN pada 25 Oktober.majlis malam tersebut pada 29 oktober.Merteka tanya,apa pula majlis yang sedang berlangsung itu? Dengan jujur saya katakan kepada mereka ini adalah ceramah pemimpin parti pembangkang Malaysia.

Datang seorang "WARGA KERJA" SUARA mengatakan bahawa ini adalah majlis anjuran KERDUTAAN.Saya segera menyanggah jawapan tersebut! Lima individu berkenaan akhirnya bertanya pelbagai soalan dari saya,saya jawab dengan jujur! kerana JUJUR dan BENAR adalah prinsip kita.

Sayang sungguh,apabila slogan yang mereka cipta sendiri dikhianati.BENAR dan TEPAT patut ditukar kepada TIPU dan MAIN HENTAM lagi sesuai digunakan untuk SUARA selepas ini.

Kedutaan BESAR Malaysia KAHERAH (KBMK) tidak meluluskan penggunaan dataran tersebut! Penggunaan dataran tersebut oleh SUARA adalah secara tidak mengikut saluran.Tahniah! tindakan mereka sungguh berakhlak.

SAMBUTAN MASYARAKAT SETEMPAT HAMBAR!
Ramai yang memenuhi ruang dataran.Namun,dataran tidak penuh disetiap ruang seperti ceramah HAJI HADI.Ada juga ruang kosong di sebelah kanan dan kiri di atas dataran yang diturap.

Ada yang berdiri di sekeliling dataran.Namun,sebenarnya,kedatangan masyarakat setempat dari kalangan mahasiswa yang berada di hayyu Asyir dan sekitar Kaherah adalah hambar!

Yang meramaikan majlis ceramah adalah mereka yang diangkut oleh van-van yang disewa dari luar Kaherah yang diletakkan di luar perkarangan dataran dan bas-bas mini.Jika sekiranya bas-bas mini dan van-van sewa tersebut tiada,pasti,kehadiran di dataran amat hambar.Dengan ini,dapat diyakini ramainya yang datang adalah "orang luar" kaherah dan bukannya "warga Kaherah".Dari pengamatan saya,warga Malaysia yang menginap di kaherah yang teramai di Mesir ini hanya sedikit menghadirkan diri iaitu hanya sekitar 20 peratus dari kalangan hadirin.

Tapi,mereka akan pastikan,PENTOL-PENTOL yang lantang itu hadir untuk memanaskan suasana.Teknik lama yang telah lapuk.Hanya mereka yang tertipu akan terkesan dengan teknik tersebut.

hadirin yang hadir juga ada dikalangan mereka yang hanya mahu mendengar dan bkan peminat.Dari kalangan ISMA yang dihentam teruk oleh PMRAM dan ahli-ahlinya dan juga ahli-ahli ABIM yang pernah menjadi sasaran mereka satu ketika dahulu turut hadir dengan misi mahu mendengar dan seterusnya mereka bijak membuat pertimbangan.Program MENTERI KEBINET juga mereka hadir.Ini menunjukkan mereka jauh lagi matang dan layak bergelar MAHASISWA! Tahniah ahli-ahli dan kepimpinan ISMA dan ABIM.

sumber : ezo

Read more...

Tuesday, October 27, 2009

Dr Jeffrey letak jawatan Naib Presiden PKR

KOTA KINABALU - Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anggota majlis tertinggi dan biro politik, yang memberi satu tamparan hebat kepada usaha PKR untuk mengukuhkan kedudukannya di Sabah.

Dr Jeffrey, yang dijangka menghantar surat peletakan jawatan kepada ibu pejabat parti hari ini, akan kekal sebagai anggota biasa parti itu, menurut bekas pembantunya Kanul Gindol.

Adalah dipercayai majoriti ketua-ketua bahagian termasuk Dr Jeffrey sendiri, kecewa dengan keputusan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Ahmad Thamrin Jaini sebagai ketua parti yang baru di Sabah.

Ahmad Thamrin dinamakan sebagai pengerusi PKR negeri minggu lepas selepas sekumpulan ketua-ketua bahagian melahirkan rasa tidak percaya terhadap Naib Presiden PKR Azmin Ali menerajui PKR negeri. - Bernama

Read more...

Sunday, October 25, 2009

Thamrin ganti Azmin Pengerusi PKR Sabah

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Libaran, Thamrin Zaini sebagai Pengerusi PKR Sabah menggantikan Azmin Ali yang juga naib presiden parti itu.

Perkara itu diumumkan presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail setelah bermesyuarat selama empat jam bersama kepimpinan PKR di ibu pejabat parti itu di Tropicana di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut memutuskan penubuhan Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak yang antaranya disertai Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali dan Naib Presiden, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan,

Mengulas mengenai 'penyingkiran' Azmin, Wan Azizah dalam sidang media itu menafikan ia berpunca daripada desakan PKR Sabah.

''Tidak timbul langsung, kami bermesyuarat dan mereka bersetuju beri mandat kepada saya pilih pengerusi Sabah lalu saya menyokongnya," jelasnya.

Turut diumumkan dalam sidang akhbar itu adalah pelantikan seorang peguam, Baru Bian sebagai Ketua Perhubungan PKR Sarawak yang baru menggantikan Mustaffa Kamil Ayub.

Azmin pula kembali dilantik mengetuai PKR di Wilayah Persekutuan sementara Mustafa menerajui PKR Perak.

Sementara itu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan laporan mengatakan Azmin melepaskan jawatannya di Sabah awal minggu ini.

''Azmin dan Mustafa akan terus melaksanakan tugas di Sabah dan Sarawak sehingga penghujung Oktober ini,'' ujarnya.


From ADMIN : Bila dah namanya Parti Kelentong Rakyat, selama-lamanya tetap akan mengelentongkan rakyat. Inilah sikap puak PKR yang didalangi oleh 'Bateri PKR Cap 3 A" Anwar, Azizah dan Azmin. Rakyat Sabah tidak akan tertipu lagi dengan penipuan yang dilakukan oleh puak PKR. Penulis ingin tekankan di sini, sejak bila Libaran menjadi kawasan Dewan Undangan Negeri? Libaran adalah kawasan Parlimen dan di pegang oleh Y.B. Datuk Juslie Ajirol (BN) . Kalau PKR Bahagian Libaran, barulah betul dipegang oleh Thamrin.

Read more...

Wednesday, October 21, 2009

Krisis PKR Sabah bukan baru: Musa

2110-lead-2
MUSA (dua kiri) bersama Timbalan –timbalan Ketua Menteri, Datuk Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Peter Pang semasa mesyuarat SEDIA.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, krisis ke- pimpinan yang berlaku dalam parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini bukan perkara yang di luar jangkaan

Katanya, ini kerana semua pihak menyedari bahawa PKR tidak mempunyai fokus yang tertentu dalam membela nasib rakyat, mereka lebih menumpukan kepada berpolitik dengan memberikan fakta-fakta yang tidak benar kepada rakyat.

“Pendekatan mereka jauh berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), sebagai kerajaan kita (BN) serius bekerja untuk membangunkan negara dan negeri dan prihatin dalam membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN Sabah berkata demikian ketika ditanya mengenai krisis kepimpinan yang dihadapi oleh PKR Sabah, apabila beberapa ketua cabang parti itu di negeri ini mahu Pengerusi PKR Sabah, Azmin Ali digantikan dengan pemimpin lain di negeri ini.

Katanya, apa yang berlaku dalam parti pembangkang itu perlu dinilai oleh rakyat di negeri ini, kerana mereka adalah yang menjadi hakim dalam menentukan parti mana yang harus mereka pilih dan percaya.

Musa berkata, pemimpin BN sentiasa bekerja untuk kepentingan dan memenuhi kehendak rakyat dan sebab itu, semua wakil rakyat di negeri ini di arah untuk sentiasa turun padang untuk memastikan dapat menangani rakyat seperti yang disarankan oleh pucuk pimpinan parti.

Katanya, parti pembangkang tidak mampu berupa apa-apa dalam membela nasib rakyat khususnya di negeri ini, mereka sibuk bertelagah sesama sendiri daripada memikirkan soal membela rakyat.

“Kalau mereka asyik bertelagah sesama sendiri, macam mana mereka dapat memimpin negara dan negeri,”soalnya.

Read more...

Monday, October 19, 2009

2,000 rumah usang di Kalabakan akan dibaikpulih: Ghapur

TAWAU: Sebanyak 2,000 rumah usang milik rakyat termiskin di kawasan Parlimen Kalabakan akan dibaik-pulih oleh kerajaan dengan kos di antara RM15,000 hingga RM20,000 dan ketika ini, 500 daripadanya sedang giat diperbaiki dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Haji Salleh, berkata peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan rumah-rumah berkenaan adalah hasil kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan projek itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Selain rumah-rumah usang terbabit kata beliau, pihaknya juga turut telah menyumbangkan peralatan membaiki rumah kepada 100 buah rumah di kawasan tersebut.

“Sebanyak 100 buah rumah ini adalah rumah-rumah yang tidak begitu daif, tetapi bila tidur penghuninya boleh nampak atap. Kita telah agihkan papan dan plywood dan bantuan seperti ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, semua usaha yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk membantu rakyat di kawasan yang diwakilinya dan turut diberikan perhatian ialah penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, yang diadakan di kediamannya di Batu 2 Tawau.

Menyentuh hal berlainan, Ghapur yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan turut melahirkan keyakinannya bahawa pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini bakal memberi khabar gembira kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jika sebelum ini kita sering merungut, tetapi kali ini saya percaya kerajaan akan memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak kerana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sudah tentu telah memaklumkan tentang perlunya usaha jitu untuk membangunkan kedua-dua negeri ini,” katanya.

Tentang Perhimpunan Agung Khas Umno yang berlangsung baru-baru ini pula, beliau menyifatkan peringatan yang diberikan oleh Presiden Umno di dalam Ucapan Dasarnya, adalah ucapan terbaik yang pernah didengarnya.

“Ucapan ini pada saya adalah ‘The Best Ever!’. Ini kerana YAB Dato’ Seri Mohd Najib berani berterus-terang dan menegur sikap para pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

“Beliau turut mengingatkan setiap pemimpin supaya tidak berfikir kuat dan hanya mendongak ke langit, tetapi turut mengambil berat tentang ahli-ahli dan rakyat di peringkat akar umbi. Ini kerana tanpa rakyat sudah tentu Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tumbang,” katanya.

Dalam kenyataannya, Ghapur juga melahirkan rasa setujunya supaya mana-mana pemimpin UMNO termasuk Ketua Bahagian yang tidak ‘turun padang’, tidak dicalonkan di dalam piihan raya akan datang.

Lebih 5,000 tetamu menghadiri majlis tersebut termasuk para pemimpin tempatan mahupun dari daerah luar.

Read more...

Anwar tidak percaya Jeffrey?

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dipercayai berpunca daripada hilangnya kepercayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kemampuan Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mendakwa sewaktu menyertai PKR, Jeffrey telah diberi tugas untuk melebarkan pengaruh parti itu di Sabah namun beliau gagal walaupun ‘tsunami politik’ telah berlaku di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Katanya, Jeffrey kemudiannya diminta memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sana supaya melompat parti bagi membolehkan pakatan pembangkang membentuk kerajaan Pusat, namun ia turut menemui kegagalan.

“Anwar menganggap Sabah sebagai sebuah negeri yang penting untuk dikuasai, sebagaimana BN yang menganggap Sabah sebagai satu ‘simpanan tetap’.

“Lantaran itu, Anwar mengambil alih jawatan pengerusi negeri selama kira-kira dua bulan sebelum diserahkan kepada orang kepercayaannya (Naib Presiden PKR) Azmin Ali,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Krisis dalaman PKR Sabah memuncak apabila 18 daripada 23 ketua bahagiannya membantah pelantikan Azmin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

Ia ‘dipanaskan’ lagi dengan kehadiran Zaid Ibrahim pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Deepavali di Plaza Tanjung Aru malam kelmarin walaupun dinasihatkan oleh Anwar supaya tidak berbuat demikian berikutan bantahan Azmin sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita.

Sewaktu berucap pada majlis itu Zaid melahirkan harapan supaya PKR tidak akan didominasi oleh kumpulan tertentu yang mempunyai agenda mereka sendiri.

Anuar berkata, sebagai ahli politik berpengalaman di Sabah, Jeffrey tidak berdiam diri malah bijak memanipulasi keadaan dengan melibatkan Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau mendakwa, Zaid digunakan oleh Jeffrey untuk mendapatkan publisiti dan membawa krisis itu ke peringkat nasional.

“Zaid walaupun tidak mempunyai penyokong akar umbi merupakan seorang yang lantang dan mampu meraih publisiti selaras dengan statusnya sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Inilah cara terbaik untuk Jeffrey membawa masalah itu ke peringkat nasional, jika tidak ia hanya diperkatakan di Sabah sahaja,” katanya yang menyifatkan hayat politik Jeffrey dalam PKR sudah menghampiri penghujung.

Sementara itu, Anuar yang merupakan bekas Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh berkata, beliau percaya Azmin akan menerima padah di dalam kemelut politik Sabah yang sememangnya unik dan sukar difahami pemimpin dari Semenanjung.

Katanya, risiko itu semakin diburukkan oleh sikap Anwar yang terlalu melebihkan Azmin berbanding kehendak akar umbi.

“Saya percaya sudah ada pemimpin PKR Sabah telah menemui Anwar dan mengadu mengenai masalah tersebut.

“Berdasarkan pengalaman peribadi saya, Anwar biasanya akan membuat janji bagi memuaskan hati semua pihak, tapi akhirnya isu di Sabah meledak juga,” katanya yang mendakwa masih menerima maklumat daripada ‘rakan-rakan’ lama dalam PKR.


Sumber : Utusan

Read more...
My Popularity (by popuri.us)
READERS (MONDAY, 22 DIS 2008)

free counters
Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.