Saturday, May 2, 2009

NEGARA ISLAM PANDANGAN PAS DAN UMNO

Apakah Malaysia Sebuah Negara Islam?

PAS KATA:

Malaysia bukan sebuah negara Islam walaupun 10 negara lain dalam OIC mengatakan Malaysia sebuah negara Islam. Ia mungkin "negara umat Islam" tetapi bukan "negara Islam." Perdana Menteri Malaysia sendiri pernah mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan hukum Islam tidak sesuai di negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Tetapi baru-baru ini UMNO ada mengatakan bahawa Malaysia adalah "negara Islam." Apa yang anihnya MCA, MIC, dan DAP tidak melenting dengan pengumuman tersebut tetapi melenting apabila PAS menyatakan tentang "negara Islam." Ini menunjukkan seolah-olah ada "negara Islam ala-UMNO" dan "negara Islam al-PAS" sebagaimana UMNO pernah mendakwa cadangan hukum hudud yang dikemukakan di Kelantan adalah hudud PAS dan bukan hudud Islam. Penilaian samada sesebuah negara itu negara Islam atau tidak bukan berdasarkan institusi Islam yang dibina tetapi jauh lebih dari itu. Ah Choo dan Ramalingam yang memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping songket tidak semestinya Muslim.

UMNO JAWAPAN:

Kenyataan Y.A.B. Perdana Menteri mengenai Malaysia Negara Islam adalah suatu yang bijaksana dan sangat besar ertinya yang insya Allah mampu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Sesungguhnya pernyataan Malaysia Negara Islam bukanlah suatu slogan kosong dan tidak juga suatu sandiwara yang diada-adakan, malah ianya suatu hakikat dan realiti yang tidak boleh, malah tidak patut dinafikan lagi.

Kenyataan itu sebenarnya adalah suatu PENJELASAN, bukannya pengisytiharan. Ini penting difahami dengan tepat kerana pada masa ini terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang menganggap bahawa kenyataan itu sebagai suatu perisytiharan sehingga ada yang terperanjat, takut dan kecewa. Sebenarnya hakikat Malaysia sebagai negara Islam tidak perlu diisytiharkan lagi kerana tarafnya sebagai negara Islam telah terlaksana sejak perisytiharan kemerdekaannya dahulu lagi.

Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah negara Islam. Bukti Malaysia Negara Islam boleh dirujuk kepada perkara-perkara berikut:

1.) Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia: Perlembagaan Malaysia jelas memberikan kedudukan yang istimewa kepada Islam. Ini dapatdilihat seperti berikut:

i. “ Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Perkara 3(1) dalam perlembagaan ini telah dihuraikan oleh beberapa tokoh undang-undang di Malaysia. Ada yang berpendapat peruntukan itu sekadar menjelaskan bahawa upacara rasmi negara bolehlah dijalankan mengikut Islam. Namun demikian Almarhum Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim telah menegaskan bahawa dengan adanya peruntukan “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan”, maka Malaysia boleh memperkenalkan dirinya sebagai negara Islam.

ii. Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam.

iii. Urusan pentadbiran Islam menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

2) Pandangan Ulama Mu’tabar:

Konsep negara Islam hanya dibincangkan oleh ulama-ulama terkemudian. Jadi ia termasuk dalam perkara-perkara “ijtihadiyyah” iaitu hasil kefahaman ulama yang berkenaan mengenainya. Hal ini seperti Muhammad bin Hasan as-Syaibani, Muhammad Abu Zuhrah, al-Butiy dan lain-lain lagi.

3) Pengiktirafan dunia:

i. Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam dan telah menganggotai O.I.C sejak mula lagi.

ii. Pengiktirafan Malaysia Negara Islam contoh diberikan oleh negara Islam dan bukan Islam diseluruh dunia.

4) Pelaksanaan Pentadbiran Negara:

i. Asas pentadbiran Malaysia hari ini selaras dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam bidang perundangan berbagai usaha telah dijalankan untuk menyelaraskan antara undang-undang sivil dan syarak. Dalam bidang mu’amalat dan ekonomi terdapat sistem baru yang selaras dengan ajaran Islam telah dilaksanakan seperti Sistem Perbankan Islam, Takaful, Al Rahn dan sebagainya.

ii. Selain dari itu dalam bidang pendidikan juga tidak ketinggalan disepadukan antara tuntutan ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Malah asas pembentukan syahsiah pegawai dan kakitangan kerajaan adalah dari nilai-nilai murni Islam.

iii. Kesungguhan kerajaan menghayati ajaran Islam dapat dilihat dalam usaha-usahanya membebaskan umat Islam dari belenggu khurafat, tahayul dan ajaran sesat, dengan sentiasa memberikan penjelasan dan penerangan menerusi berbagai media. Di samping itu kerajaan juga sentiasa mengambil berat mempastikan makanan dan barang gunaan umat Islam di negara ini halal dan suci. Malah Malaysia merupakan negara Islam terulung dan terkemuka dalam menjaga aqidah, syariah dan akhlak umat Islam di dunia hari ini.

iv. Antara bukti lain yang paling jelas menunjukkan Malaysia Negara Islam ialah penubuhan berbagai institusi yang berkaitan dengan pentadbiran Islam khususnya penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Mufti.

5) Muzakarah Fatwa:

i. Setelah mengambil kira berbagai pandangan, hujah dan keadaan yang wujud di Malaysia, serta akibat buruk dari penolakan Malaysia sebagai negara Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa MALAYSIA ADALAH SEBUAH NEGARA ISLAM

ii. Kenyataan ini dengan jelas menolak anggapan kononnya Malaysia negara sekular kerana ciri-ciri sekularisma yang bermatlamatkan keduniaan semata sebagaimana yang difahami tidak wujud dalam falsafah dan pengurusan pentadbiran negara serta pegangan hidup rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Jaminan untuk Rakyat Bukan Islam: Kenyataan Malaysia Negara Islam sedikit sebanyak telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat yang bukan Islam, terutama bila terdapat beberapa pentafsiran salah yang cuba menakut-nakutkan mereka. Kekeliruan mengenainya sepatutnya tidak timbul kerana kepimpinan negara telah menjelaskan sifat Negara Islam Malaysia adalah berasaskan kehendak Islam yang sebenar dan tulin, yang tentunya berbeza dengan pendekatan yang dilaksanakan oleh setengah-setengah negara Islam yang lain di dunia hari ini, yang sering memperlihatkan tindakan ganas dan tidak bertimbangrasa. Sesungguhnya prinsip-prinsip ajaran Islam seperti adil,bertimbangrasa menghormati kebebasan beragama menjadi amalan kerajaan sepanjang masa.

Kepimpinan Malaysia hari ini memberi jaminan bahawa kerajaan akan tetap mempertahankan perlembagaan yang sedia ada yang mengiktiraf kebebasan beragama disamping menjaga hak-hak rakyat dengan saksama. Kerajaan juga bertanggungjawma. Kerajaan juga bertanggungjawgara dan menentang apa jua bentuk keganasan yang berlaku dan mungkin berlaku walau dari mana punca sekalipun. Oleh itu tidak ada sesiapa yang patut keliru, takut dan bimbang mengenai kedudukan mereka dalam negara Malaysia ini. Kerajaan yang ada sekarang sentiasa mempastikan tanggungjawabnya kepada rakyat dipenuhi dan dilaksanakan dengan saksama berpandukan kehendak-kehendak Perlembagaan Negara.

Meyakini dan berpegang dengan jaminan ini sangat penting bagi warga negara Malaysia seluruhnya. Oleh itu corak kepimpinan Islam yang ada di Malaysia hari ini mesti diteruskan dan dipertahankan jika inginkan kehidupan yang aman dan makmur bertambah dan berterusan serta mendapat keredhaan Allah ‘Azza wa jalla.

Sebaliknya menyerah dan membiarkan Malaysia dipimpin oleh kepimpinan golongan yang menolak hakikat Malaysia Negara Islam akan membawa Malaysia ke jurang kemusnahan dan kehancuran sepertimana yang di alami oleh banyak negara di dunia hari ini. Sikap ini dilarang oleh Islam.

0 comments:

My Popularity (by popuri.us)
READERS (MONDAY, 22 DIS 2008)

free counters
Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.