Saturday, October 31, 2009

PKR Papar beri kata dua

PAPAR 31 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Papar hari ini memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya 'membetulkan semula' keputusan berhubung pelantikan ketua perhubungan PKR negeri atau berhadapan tindakan pembubaran atau ahli meninggalkan parti itu.

Ketua bahagiannya, Sylvestor Balon Mujin berkata, beliau dan ahli PKR bahagian itu akan meninggalkan parti dan membubarkan bahagian itu jika kepimpinan pusat terus membelakangkan suara majoriti dalam membuat keputusan.

"Kami memberi masa dua minggu untuk mereka (pucuk pimpinan) membetulkan balik keadaan. Selepas itu kita akan melihat suara dan reaksi rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bersama 16 ahli jawatankuasa bahagian itu.

Mengenai khabar angin beliau akan mengetuai kumpulan yang bakal meninggalkan PKR, Sylvestor berkata, pertemuan hari ini bertujuan membincangkan masalah parti dan bukannya meninggalkan parti.

Beliau menjelaskan, suara majoriti telah jelas memilih Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri bukannya Ahmad Thamrin Jaini.

"Pada mesyuarat 22 Oktober lalu, 14 pemimpin bahagian memilih Jeffrey dan hanya sembilan menyokong Thamrin," katanya.

Sylvestor menambah, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada PKR pusat bagi membantah keputusan melantik Thamrin sebagai Ketua Perhubungan PKR negeri.

Krisis dalaman PKR Sabah bermula dengan penentangan terhadap pelantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri itu sehingga membawa kepada 18 daripada 23 ketua bahagian parti itu menghantar memorandum bantahan ke peringkat pusat.

Sebelum Azmin, PKR negeri diketuai Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang dilantik menggantikan penyandang sebelumnya, Ansari Abdullah.

Bagi menyelesai kemelut tersebut, PKR pusat pada Ahad lalu melantik Thamrin sebagai ketua perhubungan negeri yang baru dan hanya memberikan Jeffrey jawatan ahli dalam Majlis Integrasi Nasional untuk Sabah dan Sarawak.

Keputusan itu seterusnya mendorong peletakan jawatan Jeffrey dan Ketua PKR bahagian Kota Kinabalu, Christina Liew daripada semua jawatan dalam PKR pusat baru-baru ini.

Ulasan : PKR Sabah makin bercelaru dengan krisis kepimpinan.

0 comments:

My Popularity (by popuri.us)
READERS (MONDAY, 22 DIS 2008)

free counters
Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.