Monday, October 19, 2009

2,000 rumah usang di Kalabakan akan dibaikpulih: Ghapur

TAWAU: Sebanyak 2,000 rumah usang milik rakyat termiskin di kawasan Parlimen Kalabakan akan dibaik-pulih oleh kerajaan dengan kos di antara RM15,000 hingga RM20,000 dan ketika ini, 500 daripadanya sedang giat diperbaiki dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Haji Salleh, berkata peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan rumah-rumah berkenaan adalah hasil kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan projek itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Selain rumah-rumah usang terbabit kata beliau, pihaknya juga turut telah menyumbangkan peralatan membaiki rumah kepada 100 buah rumah di kawasan tersebut.

“Sebanyak 100 buah rumah ini adalah rumah-rumah yang tidak begitu daif, tetapi bila tidur penghuninya boleh nampak atap. Kita telah agihkan papan dan plywood dan bantuan seperti ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Menurutnya, semua usaha yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk membantu rakyat di kawasan yang diwakilinya dan turut diberikan perhatian ialah penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan raya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, yang diadakan di kediamannya di Batu 2 Tawau.

Menyentuh hal berlainan, Ghapur yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan turut melahirkan keyakinannya bahawa pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober ini bakal memberi khabar gembira kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jika sebelum ini kita sering merungut, tetapi kali ini saya percaya kerajaan akan memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak kerana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sudah tentu telah memaklumkan tentang perlunya usaha jitu untuk membangunkan kedua-dua negeri ini,” katanya.

Tentang Perhimpunan Agung Khas Umno yang berlangsung baru-baru ini pula, beliau menyifatkan peringatan yang diberikan oleh Presiden Umno di dalam Ucapan Dasarnya, adalah ucapan terbaik yang pernah didengarnya.

“Ucapan ini pada saya adalah ‘The Best Ever!’. Ini kerana YAB Dato’ Seri Mohd Najib berani berterus-terang dan menegur sikap para pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

“Beliau turut mengingatkan setiap pemimpin supaya tidak berfikir kuat dan hanya mendongak ke langit, tetapi turut mengambil berat tentang ahli-ahli dan rakyat di peringkat akar umbi. Ini kerana tanpa rakyat sudah tentu Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tumbang,” katanya.

Dalam kenyataannya, Ghapur juga melahirkan rasa setujunya supaya mana-mana pemimpin UMNO termasuk Ketua Bahagian yang tidak ‘turun padang’, tidak dicalonkan di dalam piihan raya akan datang.

Lebih 5,000 tetamu menghadiri majlis tersebut termasuk para pemimpin tempatan mahupun dari daerah luar.

0 comments:

My Popularity (by popuri.us)
READERS (MONDAY, 22 DIS 2008)

free counters
Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.