Sunday, January 4, 2009

Nasihat Guru Kepada Blogger Penyokong

Assalamu’alaikum wr wbt dan salam sejahtera,
Kepada semua blogger UMNO dan pencinta UMNO,


Saya tidak tahu kepada siapa yang harus saya nyatakan perkara ini bagi berkongsi rasa resah saya tentang sikap blogger jenis ini yang mengakui sayangkan UMNO atau ahli UMNO tetapi menggunakan gaya penulisan yang pada saya kurang bijaksana, kurang strategik dan kurang taktikal.


Apatah lagi tulisan sebegini dihasilkan menjelang pilihan raya kecil yang begitu penting kepada Barisan Nasional dan UMNO itu sendiri. Sepatutnya dalam saat begini blogger UMNO atau yang mengaku mencintai UMNO menggunakan kebolehannya menulis dan blognya untuk membantu kemenangan calon BN/UMNO bukannya memberi kupasan yang boleh menyulitkan parti dan memberi laluan mudah pula kepada pihak pembangkang untuk menjadikannya sebagai modal atau isu untuk menyerang kta kembali.


Apa yang kita tuliskan tidak boleh dianggap remeh walaupun isu yang dibangkitkan bukan isu penting. Selagi ia bersangkutan dengan parti kita (UMNO/BN) ia adalah penting, termasuk cara-cara kita mempersembahkan dan memaparkan sesuatu isu di dalam blog kita.Kita tidak boleh mengandaikan delivery system itu hanya merujuk kepada kakitangan awam yang berurusan dengan rakyat sahaja, tetapi blogger juga mesti menggunakan kaedah penyampaian yang berkesan melalui blog mereka.


Ada blogger yang merasakan semua perkara yang berlaku dalam UMNO mesti dituliskan dan semua yang beliau fahami harus didedahkan di dalam blog. Beliau seolah-olah mahu memaksa pembaca/blogger lain bersetuju dengan pandangan peribadi beliau dan apa yang beliau faham tentang sesuatu.


Keberanian menulis tentang sesuatu perkara tidak akan menjadi suatu berita gembira kepada parti jika tidak disertakan dengan kebijaksanaan dalam memilih isu yang hendak dipapar kepada umum dan yang lebih penting lagi bagaimana sesuatu isu itu dipersembahkan.
Inilah peraturan tersembunyi yang perlu dipegang oleh seseorang blogger yang menjadi penyokong atau ahli parti. Anda tidak akan dapat mencari peraturan seperti ini kerana peraturan ini tidak pernah ditulis dalam mana-mana dokumen, tetapi inilah kebijaksanaan dan kematangan yang perlu ada pada seseorang blogger UMNO. .


Sikap kita untuk menjadi hero tiada maknanya jika tulisan kita akhirnya menyulitkan parti dan lebih buruk lagi jika parti dikalahkan hanya disebabkan tulisan kita itu. Saya tidak fikir dengan mendedahkan semuanya dalam blog dan memberitahu semua orang tentang apa sahaja yang sedang berlaku dalam parti kita, suatu sikap yang bertanggungjawab untuk membetulkan parti. Sedangkan menyimpan sebahagiannya adalah jauh lebih baik dan lebih berstretegik daripada mendedahkan semua yang kita ada.


Kadang-kadang yang hendak dibetulkan itu bukannya masalah besar dalam parti pun tetapi cuma berkisar pada perkara-perkara kecil yang berlaku pada seseorang dalam parti seperti perkara-perkara teknikal, cara bercakap, cara berhujah dan sebagainya.


Jika ingin membetulkan parti atau ahli parti melalui blog, penelitian dengan seluruh kebijaksanaan serta pertimbangan perlu dbuat supaya apa yang ditulis itu benar-benar sesuai untuk menjadi tatapan umum dan bukannya menjadi rahsia dan strategi parti.


Jika ada niat untuk membetulkan perkara-perkara strategi dan taktikal dalam parti atau seseorang calon dalam parti ketika menjelang pilihan raya kecil, blog tidak sesuai sama sekali sebab blog dibaca bukan sahaja oleh parti yang atau individu yang dimaksudkan, tetapi oleh ramai orang yang termasuk di dalamnya musuh-musuh parti.


Kadang-kadang perkara remeh yang kita tulis itu asalnya tidak ada apa-apa implikasinya kepada parti, namun apabila sudah menjadi tatapan umum, ia akan digunakan sebaik-baiknya secara meluas untuk membuktikan kelemahan kita.


Ini sebuah blog, bukan sebuah kelambu atau sebuah rumah. Ada isu-isu tertentu yang sesuai untuk diluahkan dalam kelambu dan rumah sahaja. Ada isu yang boleh dikemukakan di tempat yang tertutup sahaja. Ada isu yang hanya sesuai untuk dluahkan dalam kumpulan kecil. Dan ada isu yang boleh dibangkitkan dalam kumpulan yang lebih besar. Semuanya bergantung kepada


1) isu yang dibangkitkan,


2) tujuan ianya dibangkitkan,


3) kesesuaian masa dan tempat serta


4) implikasi buruk baiknya kepada organisasi.


Keghairahan menulis dalam blog yang tiada sesiapa yang akan menegur dan menapisnya jangan sampai melekakan kita sehingga kita gagal memasukkan unsur-unsur akal budi, kebijaksanaan dan kematangan di dalamnya. Rupa-rupanya menulis blog untuk kepentingan UMNO dan BN jauh lebih sukar dan memerlukan lebih daripada sekadar keberanian dan kebolehan dalam penulisan.


Semoga pembaca memahami siapa dan apa yang saya maksudkan, bukan sekadar yang tersurat tetapi yang tersirat juga.



Wassalam.



Tulisan asal ( Abd Bashid Bin Harun )

0 comments:

My Popularity (by popuri.us)
READERS (MONDAY, 22 DIS 2008)

free counters
Add to Technorati Favorites

  ©Template by Dicas Blogger.